INFO | Ubat Kuat –Nikmatnya Sementara, Sengsara Selamanya - Khabar Kinabalu

Terkini

Sunday 29 October 2017

INFO | Ubat Kuat –Nikmatnya Sementara, Sengsara Selamanya


Terdapat segelintir kaum lelaki di luar sana mungkin mengalami masalah lemah tenaga batin atau lebih dikenali sebagai mati pucuk. Dalam istilah perubatan pula, keadaan ini dikenali sebagai ‘erectile dysfunction’ (ED). Menurut kajian, pada masa ini dianggarkan lebih kurang tiga juta lelaki Malaysia mengalami masalah mati pucuk. Masalah mati pucuk boleh menjadi keadaan yang serius dan menyebabkan kemurungan serta stres dalam sesebuah rumah tangga.

Di Malaysia, terdapat beberapa jenis ubat perangsang seks yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam rawatan masalah mati pucuk ini. Ubat perangsang seks yang berdaftar akan mempunyai nombor pendaftaran ‘MAL’ dan label hologram pada bungkusannya.
Antara contoh bahan aktif ubat perangsang seks yang popular adalah sildenafil, tadalafil dan vardenafil. Penggunaan ubat perangsang seks yang berdaftar dalam rawatan mati pucuk adalah dibenarkan setelah mendapat nasihat daripada doktor yang bertauliah dan berdaftar. Selain daripada itu, bekalan ubat ini juga boleh didapati di premis-premis farmasi komuniti berlesen dengan preskripsi doktor.
Sehingga kini, masalah mati pucuk ini masih menjadi sesuatu perkara yang memalukan bagi segelintir rakyat Malaysia untuk berbicara secara terbuka dengan doktor. Oleh itu, tidak ramai pesakit yang mendapatkan rawatan secara sah daripada doktor di klinik atau hospital.
Maka situasi ini telah digunakan oleh sesetengah individu yang tidak bertauliah dan tidak beretika untuk menjual ubat perangsang seks yang tidak berdaftar dengan PBKD, KKM. Perniagaan mereka ini diibaratkan “cendawan tumbuh selepas hujan” di mana pelbagai iklan haram ubat perangsang seks ini dipaparkan di media sosial mahupun di tepi jalan.
Seiring dengan perkembangan sains dan teknologi pada masa kini, peluang kepada peniaga-peniaga untuk memasarkan produk haram mereka melalui media sosial dan laman web lebih mudah dan terus kepada individu yang memerlukan ubat perangsang seks ini.
Kebanyakan iklan dan promosi produk-produk tersebut memaparkan testimoni yang sengaja direka tanpa sebarang asas bukti kajian saintifik dan klinikal. Kaedah rekaan testimoni ini dengan tujuan untuk melariskan jualan produk mereka adalah salah di sisi undang-undang mengikut Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956).
Hasil pemantauan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), KKM mendapati bahawa taktik pengeluar dan penjual kini jarang memasarkan produk mereka dalam bentuk dosej farmaseutikal seperti tablet, kapsul, atau pil. Sebaliknya, produk mereka dipasarkan dalam bentuk minuman atau makanan yang telah dicampur palsu dengan ubat perangsang seks. Pengeluar atau penjual kini mencampurkan bahan aktif ubat perangsang seks ini ke dalam produk berasaskan makanan seperti gula-gula, kopi pracampur dan minuman kesihatan.
Semua taktik ini bertujuan untuk mengelirukan pengguna di samping mengelakkan produk tersebut daripada keperluan pendaftaran produk ubat dengan pihak PBKD, KKM kerana produk tersebut berada dalam bentuk minuman atau makanan.
Terdapat juga pengeluar yang mencampurkan ubat ini ke dalam produk tradisional dan produk ubat am (OTC) yang juga tidak berdaftarkan dengan pihak PBKD, KKM. Perubahan bentuk fizikal produk juga membolehkan produk ini diedarkan secara lebih meluas termasuklah di kedai-kedai runcit, kedai makan, kedai serbaneka mahupun perniagaan dalam talian dan hantaran ke rumah.
Bahan-bahan aktif ubat perangsang seks haram dipercayai telah diseludup masuk dari luar negara dan dicampur ke dalam produk-produk keluaran tempatan di kilang-kilang haram. Terdapat juga produk perangsang seks yang berada dalam bentuk bungkusan siap diseludup masuk dari negara asal seperti China, India, Thailand dan Indonesia.
Masyarakat perlu diingatkan bahawa penggunaan ubat perangsang seks tanpa mendapat nasihat pengamal perubatan berdaftar adalah tindakan yang sangat berbahaya. Bertambah malang lagi, terdapat juga pengguna yang mengambil ubat perangsang seks semata-mata mahu mencuba dan perasaan ingin tahu. Akhirnya status kesihatan mereka mungkin terjejas apabila mengalami kesan sampingan akibat penggunaan ubat perangsang seks yang tidak berdaftar ini.
Antara kesan sampingan yang biasa dijumpai adalah tekanan darah rendah yang menyebabkan pengguna berasa pening hingga hampir pitam. Kesan sampingan lain dalam jangka masa panjang adalah kerosakan hati, kerosakan buah pinggang, gangguan mental dan sebagainya. Dalam keadaan yang serius, gangguan terhadap fungsi jantung boleh berlaku dan keadaan ini turut menyebabkan mati mengejut.
Semua pihak terutamanya pengguna diseru supaya sentiasa bersikap bijak dan teliti semasa membeli produk kesihatan. Jangan membuat pembelian secara terburu-buru dan jangan percaya kepada testimoni produk yang dikatakan mampu menyelesaikan masalah mati pucuk.
Pengguna perlu lebih berhati-hati supaya tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata manis penjual produk-produk seperti ini. Penjual ubat perangsang seks yang tidak berdaftar dengan KKM akan mencuba pelbagai pendekatan dan kaedah untuk menipu pengguna semata-mata bagi melariskan produk mereka.
Antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pengguna adalah :-
• Dapatkan nasihat doktor sekiranya mengalami masalah mati pucuk. Elakkan merawat sendiri dengan membeli atau mencuba sesuatu produk kesihatan tanpa nasihat doktor .
• Dapatkan produk kesihatan dari premis atau peniaga yang sah (klinik, farmasi komuniti). Elakkan pembelian produk perangsang seks secara dalam talian, penjual individu, syarikat jualan langsung, kaki lima, pasar malam, pasar tani dan kedai-kedai yang tidak berlesen. Ini boleh membahayakan diri kerana produk yang dijual adalah tidak dijamin dari segi mutu dan keselamatannya.
• Pastikan ubat yang dibeli dalam bungkusan asalnya, elakkan membeli sesuatu ubat sekiranya ia telah dibuka atau dibungkus semula.
• Elakkan membeli produk yang dijual pada harga melebihi kebiasaan, misalnya kopi pracampur atau gula-gula yang dijual melebihi harga biasa.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) yang disediakan khas oleh BPF, KKM di talian bebas tol 1-800-88-6722. NPCC ini beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang. Pegawai Farmasi bertauliah akan menjawab pertanyaan anda.
Disediakan oleh:
AIZAM EKHMAL BIN ESAHAK AYUB
Penolong Pengarah Farmasi (Kuatkuasa)
Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Melaka

No comments:

Post a Comment