Jangan Mulakan Pembakaran Terbuka | Musim Kering Di Sabah 2019 - Khabar Kinabalu

Terkini

Friday 15 February 2019

Jangan Mulakan Pembakaran Terbuka | Musim Kering Di Sabah 2019

KENYATAAN AKHBAR JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI SABAH

 Pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah telah menerima makluman daripada Ibupejabat MetMalaysia mengenai kawasan-kawan yang telah tidak menerima hujan melebihi 7 hari berturut-turut. 
Sehingga 14 Februari 2019, kawasan-kawasan tersebut adalah
• Ranau (Stesen Laban Rata Gunung Kinabalu) (12 hari tidak hujan) 
• Kudat (Stesen Pulau Banggi) (13 hari tidak hujan) 
• Keningau ( Stesen Keningau) (11 hari tidak hujan) 
• Penampang (Stesen Babagon) (13 hari tidak hujan) 
• Sandakan (Stesen L.T.Sandakan) (7 hari tidak hujan) 
• Tuaran (Stesen Kiulu) (12 hari tidak hujan) 
• Bahagian Pedalaman (Stesen Pertanian Nabawan) (7 hari tidak hujan) 
• Bahagian Pantai Barat (Tuaran-Mensilau) (13 hari tidak hujan) 
• Kota Kinabalu (Stesen KKIA) (17 hari tidak hujan) 
• Kuala Penyu (Stesen Kuala Penyu) (17 hari tidak hujan) 

 Berikutan cuaca panas dan kering yang sedang dialami ini, pemantauan mendapati terdapat pertambahan titik panas (hotspot) di Negeri Sabah yang berulang kali dikesan berlaku di kawasan Beaufort, Keningau, Sook dan Kuala Penyu di samping aduan kacauganggu disebabkan pembakaran terbuka dari kawasan perumahan. 

Sehubungan itu, semua pihak adalah diminta bekerjasama untuk tidak memburukkan keadaan dengan melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan merebaknya kebakaran dan menjejaskan kualiti udara setempat. 

Kerjasama semua pihak juga adalah diperlukan untuk menjaga kawasan tanah masing-masing dan membantu memadamkan kebakaran-kebakaran kecil agar tidak merebak. 

Orang ramai juga diminta bekerjasama sekiranya mempunyai maklumat mengenai sesiapa yang memulakan kebakaran sehingga menyebabkan kebakaran merebak ke kawasan lebih besar terutamanya di kawasan belukar dan hutan, hendaklah melaporkan segera ke Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 dan sebaik-baiknya berserta bukti bergambar mengenai pelaku bagi punca kejadian. 

Setakat ini, 2 kompaun telah dikeluarkan terhadap individu yang telah menyebabkan kebakaran besar di kawasan Beaufort dan Sook, dan siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti pemilik tanah kawasan-kawasan yang telah terbakar di kawasan tersebut.

Bagi tempoh tahun 2018 hingga kini, sebanyak 24 kompaun telah dikeluarkan kepada individu, premis industri dan tapak pembinaan yang didapati melakukan pembakaran terbuka. Manakala satu kertas siasatan telah dibuka, melibatkan pembakaran dalam kawasan ladang. 

Adalah diingatkan bahawa melakukan pembakaran terbuka adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM2,000 atau denda RM500,000 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

 Untuk menyemak indeks kualiti udara semasa, orang ramai boleh melayari 

http://apims.doe.gov.my

 atau memuatturun aplikasi mobile MyIPU bagi mengetahui kualiti udara bagi stesen pemantauan kualiti udara yang terdekat.

 JABATAN ALAM SEKITAR (JAS) NEGERI SABAH KEMENTERIAN TENAGA, SAINS, TEKNOLOGI , ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM (MESTECC) 15 FEBRUARI 2019

No comments:

Post a Comment