Amuk Sang Badak | Sabah Lawan DRB HICOM

Sabah lawan drb hicom2015

KETUA jurulatih, Justin Ganai tidak memandang mudah cabaran DRB-Hicom namun yakin anak buahnya mampu meneruskan rentak kemenangan apabila melayan pasukan kelab berkenaan di Stadium Likas, malam ini.

Beliau berkata, walaupun DRB-Hicom tewas pada perlawanan pertama Liga Perdana minggu lalu, beliau tetap berhati-hati bagi memastikan pasukannya tidak kecundang di halaman sendiri.

“Kita tidak tahu di mana kekuatan DRB-Hicom kerana saya belum tengok cara mereka bermain, berdasarkan keputusan perlawanan lalu, mereka kalah 1-3 (kepada Negeri Sembilan) tapi itu bukanlah bermakna mereka pasukan yang lemah.

“Saya menganggap mereka sebuah pasukan yang kuat namun kita telah bersedia untuk perlawanan nanti,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Kompleks Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, kelmarin.

Sementara itu, Justin gembira dengan perkembangan yang ditunjukkan anak buahnya yang sentiasa bekerja keras setiap kali sesi latihan diadakan.

Sabah-Abdoulaye Faye

“Selepas perlawanan pertama lalu (bertemu Kuala Lumpur), saya lihat suasana dalam pasukan bertambah positif dengan setiap pemain semakin bersemangat serta faham dengan peranan masing-masing di dalam pasukan.

“Kita juga bersyukur kerana sesi latihan kami berjalan lancar dengan keadaan cuaca yang bagus…saya harap setiap perancangan kami untuk perlawanan Jumaat ini akan membuahkan hasil,” katanya.

Justin berkata, beliau kemungkinan besar akan mengekalkan kesebelasan utamanya ketika menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Merdeka, Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada prestasi dan kecergasan pemain dalam sesi latihan baru-baru ini, setakat ini, hanya empat pemain yang mengalami kecederaan termasuk Rozaimi (Abdul Rahman).

“Pemain lain yang cedera ialah Maxsius (Musa), Khairi (Kiman) dan Rosdin (Wasli), kesemua mereka terpaksa direhatkan pada perlawanan esok (hari ini),” katanya.

Jurulatih berusia 59 tahun itu bagaimanapun gembira dengan perkembangan pemain bek kiri, Julamri Muhammad yang semakin pulih daripada kecederaan dan berharap pemain itu akan cergas sepenuhnya menjelang perlawanan nanti.

Pasukan yang digelar Sabah Rhinos itu sekali lagi dijangka menurunkan kesebelasan terkuatnya termasuk meletakkan bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf dan bekas pertahanan Hull City, Abdoulaye Faye

Sabah-Eamon Zayed

Diouf yang juga ketua pasukan Sang Badak dijangka meneruskan peranannya sebagai perancang utama di bahagian serangan manakala Faye bakal mengemudi bahagian pertahanan.

Sementara itu, Sabah Rhinos juga pastinya berharap pemain import mereka, Eamon Zayed, menemui semula sentuhannya selepas bekas penyerang Libya berusia 32 tahun itu gagal meledak gol sejak beberapa perlawanan lalu, termasuk pada aksi pra-musim.

sumber asal- Sabahfa
Oleh WILLIE JUDE JUNAIDI

willie@sabahfa.com

Kredit Foto : Lano Lan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *