Perbicaraan | Pencerobohon Lahad Datu

ceroboh lahad datu

Perbicaraan kes 30-individu yang berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong serta terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di negeri ini awal tahun lepas, bermula di Mahkamah Tinggi, yang bersidang di Penjara Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Saksi pertama pendakwaan iaitu bekas Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerak Khas) Bukit Aman, Datuk Abdul Rashid Harun memaklumkan beliau mendapati jumlah penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu bukan sahaja menurun daripada 79 kepada 63-orang, malah terdapat muka baharu berbanding yang dilihatnya dalam lawatan pertama ke kampung itu.

Menyamar Jalankan Risikan

Datuk Abdul Rashid, yang kini Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Lahad Datu, berkata dalam lawatan pertamanya pada 15 Februari, beliau menyamar sebagai seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar.

Beliau bagaimanapun tidak mengambil bahagian dalam rundingan antara ACP Zulkifli Abd Aziz, yang juga Timbalan Ketua Cawangan Khas 1 di Sabah, dan ketua penceroboh berkenaan Datu Agbimuddin Kiram. Beliau menyertai lawatan ke Kampung Tanduo untuk menjalankan risikan dan mengumpul maklumat berhubung penceroboh termasuk menilai kekuatan serta senjata mereka.

Pindaan Tarikh Pertuduhan

Terdahulu, pendakwaan meminda tarikh dalam semua pertuduhan daripada 9 Feb kepada 12 Feb tahun lepas.

Daripada 30-individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Feb dan 10 April, 22 termasuk dua rakyat Malaysia, didakwa menganggotai kumpulan pengganas, dan jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Mereka turut berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan. Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui adalah anggota kumpulan pengganas.

Didakwa Lindungi Anggota Kumpulan Pengganas

Lima daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas. Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas. Sejumlah 27 tertuduh merupakan warga Filipina manakala bakinya warga tempatan.

Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung dibantu pasukan pendakwaan tujuh anggota diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail manakala sejumlah 10 peguam mewakili tertuduh termasuk pasukan pembelaan enam anggota diketuai peguam Datuk N. Sivananthan bagi 28 tertuduh.

Perbicaraan bersambung esok.

~beskk/bernama

Leave a reply

     


Hit Counter provided by Curio cabinets