Senario Penanaman Padi Di Sabah

SENARIO PADI DI SABAH

Negeri Sabah hanya mampu mengeluarkan kecukupan beras sekitar 30 %. Pengeluaran ini disumbangkan oleh 35,600 hektar tanah sawah padi yang sedia ada di negeri ini. Anggaran 10,400 hektar adalah kawasan yang mempunyai sistem pengairan dan saliran yang baik, 11,898 hektar mempunyai sistem pengairan dan saliran yang kurang baik manakala 13,303 hektar lagi adalah kawasan tanah sawah yang bergantung pada tadahan hujan.

SEBAGAI TANAMAN SEKURITI

Sebagai makanan ruji dan sekuriti, banyak bantuan telah disalurkan oleh kerajaan kepada pesawah bagi tujuan menambah pengeluaran beras. Bantuan itu adalah bantuan pembajakan tanah sawah padi, projek pemulihan tanah sawah terbiar, perataan tanah sawah dan pengapuran daripada Jabatan Pertanian, bantuan baja dan racun, perkhidmatan pembajakan serta penuaian daripada Lembaga Pertubuhan Peladang selain bantuan harga subsidi pembelian padi daripada BERNAS. Bantuan pembajakan tanah sawah padi Jabatan Pertanian diberikan pada kadar RM 200.00 se ekar semusim penanaman. Caj yang kebiasaanya dikenakan oleh kontraktor pemberi perkhidmatan pembajakan adalah lebih tinggi sedikit berbanding kadar yang diberikan oleh Jabatan. Pesawah terbabit biasanya akan membayar lebihan perbezaan tersebut. Pesawah-pesawah yang layak untuk menerima bantuan tersebut diminta untuk mendaftar kepada Jabatan / Agensi yang mengendalikan bantuan tersebut kecuali Projek Perataan Sawah, Projek Pengapuran dan Projek Pemulihan Tanah Sawah Terbiar yang digalak dibuat secara berkumpulan.

SENARIO PADI DI PAPAR 

Daerah Papar menyumbangkan sekitar 7.60 % daripada 83,000 tan beras Negeri Sabah. Pengeluaran beras tempatan ini disumbangkan oleh 1,753 hektar tanah sawah yang terdapat di daerah ini. Seluas 1,087 hektar daripadanya adalah dari kawasan sawah padi yang mempunyai sistem pengairan dan saliran yang baik, 160 hektar dari kawasan sistem pengairan dan saliran yang kurang baik manakala 507 hektar adalah kawasan tadahan hujan.

USAHA PEMULIHAN TANAH SAWAH TERBIAR 

Ke arah menambah pengeluaran padi di Papar beberapa usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian dan agensi lain yang berkaitan dengan padi. Antaranya mengekalkan keluasan bertanam padi sawah sedia ada melalui bantuan subsidi yang diberikan, selain matlamat menambah keluasan pengeluaran melalui pelaksanaan projek-projek pemulihan tanah sawah terbiar. Sejak RMK – 9 hingga kini seluas 850 hektar tanah sawah telah dipulihkan melibatkan peruntukan sebanyak RM 1,748,879.00. Kawasan-kawasan itu adalah Langkawit, Benoni, Pengalat Kecil, Pengalat Besar, Takis, Kelanahan, Penampang Baru, Dambai, Bongawan, Mook, Sulim, Limputung, Tintimbungon dan Sungai Padang. Para peserta projek ini diminta untuk komited dengan ‘Aku Janji’ untuk meneruskan usaha menanam padi sawah di kawasan-kawasan yang sudah dipulihkan ini.

USAHA PENINGKATAN PRESTASI HASIL 

Selain itu, usaha juga telah dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian untuk meningkatkan prestasi hasil padi. Antaranya melalui pelaksanaan Kursus-Kursus Amalan Pertanian Yang Baik [GAP], di mana para peserta kursus khususnya pesawah diminta mengurus tanaman padi dengan baik dari mulai penyediaan tanah sawah sehinggalah penuaian hasil. Berasaskan kepada pelaksanaan Projek-Projek Peningkatan Hasil yang telah dilaksanakan, ada pesawah yang mampu mencapai hasil pengeluaran padi sehingga melebihi 7 tan sehektar.

GALAKAN MELATIH PETANI USAHAWAN

Usaha juga dibuat oleh Jabatan Pertanian untuk mengalakkan serta melatih petani-petani usahawan bagi meneruskan usaha penanaman padi secara berskala besar memandangkan ramai pengusaha padi pada masa kini adalah mereka yang sudah lanjut usia. Mereka digalakkan menyewa tanah-tanah sawah terbiar yang sudah dipulihkan Jabatan untuk dimajukan secara komersial.

PERANAN INSTITUSI PENTADBIR PENANAMAN PADI DI PAPAR

Bagi memastikan penanaman padi daerah Papar dapat ditadbir-urus dengan baik, Jawatankuasa Penanaman Padi telah dibentuk yang berperanan untuk menetapkan jadual penanaman serentak, agihan air, pembajakan dan penjadualan jentera serta pengurungan ternakan (kerbau dan lembu). Selain berperanan untuk menyelesaikan dan menyelaras isu dan masalah pembangunan tanaman padi di peringkat daerah. Jawatankuasa ini dianggotai oleh Ketua-ketua Jabatan / Agensi berkaitan padi peringkat daerah, Ketua-ketua blok serta para kontraktor pemberi perkhidmatan. Pengerusi Jawatankuasa ini adalah Pegawai Pertanian manakala penasihatnya adalah Pegawai Daerah. Keputusan Jawatankuasa ini haruslah dihormati oleh semua pihak-pihak terbabit bagi memastikan penjadualan penanaman padi berjalan dengan lancar. Kekerapan mesyuarat adalah sebulan (1) lebih awal sebelum setiap musim penanaman padi sawah bermula.

CABARAN DAN LANGKAH-LANGKAH

Kebiasaannya cabaran yang dihadapi oleh Jawatankuasa ini dalam memastikan penanaman padi dapat berjalan lancar ialah perkhidmatan jentera yang kurang mencukupi. Bagaimanapun langkah-langkah diambil Jawatankuasa ini ialah pelaksanaan penanaman secara berfasa dan berjadual mengikut blok-blok yang dipersetujui.

Langkah-langkah terbaik ke arah mengurangkan ancaman burung pipit yang menjejaskan hasil pengeluaran padi ialah dengan meminta pesawah mematuhi jadual penanaman serentak.

Memandangkan daerah Papar merupakan salah sebuah daerah yang banyak menerima penyaluran peruntukan kerajaan khususnya projek pemulihan tanah sawah terbiar, ini telah menarik perhatian pemimpin negeri dan tempatan untuk hadir dan turun padang bagi meninjau kemajuan pelaksanaan projek ini.

Antaranya Projek Pemulihan Tanah Sawah Terbiar di Kg. Langkawit dan Projek Demonstrasi Keberkesanan Bantuan Padi / Beras Kerajaan Persekutuan di Kg. Benoni oleh YB Timbalan Ketua merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Pelancaran Kempen Pengawalan Padi Angin oleh YB Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah, Projek Pemulihan Tanah Sawah Terbiar Kg. Pengalat Besar oleh YB ADUN Kawang, Projek Pemulihan Tanah Sawah Terbiar di Kg. Takis dan Kg. Sungai Padang oleh YB ADUN Pantai Manis dan Projek Pemulihan Tanah Sawah Terbiar dan Projek Perataan di Kg.Bongawan oleh YB MP Kimanis dan YB ADUN Bongawan serta pemantauan yang berterusan oleh MP Papar melalui Jawatankuasa Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MP3)

Laporan penjelasan oleh

En. Jamaluddin Lani
Pegawai Pertanian Daaerah
Pejabat Pertanian Daerah Papar

Leave a reply

     

Pertandingan Video Korporat KPM
Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) serta seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih berpeluang untuk menyertai Pertandingan [baca]
UMS Bakal Menjadi IPTA Pertama Miliki Padang Rumput Tiruan Bertaraf Antarabangsa
Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjadi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama yang mempunyai padang rumput tiruan bertaraf antarabangsa. Perkara itu diumumkan Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan UMS 2014 [baca]

Hit Counter provided by Curio cabinets