Longgar Larangan Rentas Daerah, Negeri, Beri Kami ‘Nafas’ Untuk Terus Bertahan – Persatuan Pelancongan Sabah - Khabar Kinabalu

Terkini

Monday, 15 February 2021

Longgar Larangan Rentas Daerah, Negeri, Beri Kami ‘Nafas’ Untuk Terus Bertahan – Persatuan Pelancongan Sabah



KOTA KINABALU: Persatuan pelancongan berkata melonggarkan larangan rentas daerah dan negeri mampu memberi sedikit “nafas” kepada pemain industri untuk terus bertahan ketika pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Pelancongan Sabah Tony Chew berkata, dengan pintu sempadan negara masih ditutup, pelancongan domestik satu-satunya harapan kepada industri itu untuk terus bertahan.

“Dengan membatalkan atau melonggarkan semula larangan rentas daerah dan negeri, sekurang-sekurangnya ia memberi sedikit ‘nafas’ kepada industri pelancongan untuk terus bertahan dalam menghadapi wabak (Covid-19) ini.

“Selain itu, pintu sempadan negara masih ditutup ketika ini dan pelancongan domestik satu-satunya harapan bagi industri ini untuk membolehkan transaksi aliran tunai berlaku selain untuk membayar gaji pekerja dan tanggungan bulanan yang lain,” katanya.

Chew berkata, semua pemain industri pelancongan akan terus mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan jika sempadan daerah atau negeri dibuka semula.

“Selain itu, risiko jangkitan (Covid-19) juga dapat diminimumkan apabila setiap individu yang mahu melakukan perjalanan rentas daerah diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

“Saya juga berharap bayaran untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dapat dikurangkan kerajaan bagi mengurangkan sedikit beban bagi mereka yang mahu melakukan perjalanan antara negeri,” katanya.

Terdahulu, bekas menteri persekutusan Abdul Rahman Dahlan mencadangkan sekatan rentas daerah dan negeri dibatalkan untuk merancakkan kembali industri pelancongan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, perkara itu tidak mustahil dilaksanakan sekiranya segala SOP dan protokol kesihatan dipatuhi dengan baik semua pihak.

“Beri kebenaran kepada mereka yang mahu melakukan perjalanan (ke Sabah) tanpa perlu permit polis atau kebenaran khas. SOP untuk terbang ke Sabah sangat ketat kerana mereka yang ingin melakukan perjalanan perlu melakukan ujian saringan tiga hari sebelum terbang.

“Ini membuktikan penumpang yang melakukan penerbangan ke Sabah adalah selamat dan prosedur sama juga dilaksanakan bagi mereka yang terbang ke Semenanjung dari Sabah.



“Kita jangan lupa, pemain industri pelancongan di Sabah juga mempunyai SOP yang ketat dan tahap pematuhan mereka juga tinggi,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (SATTA) Lawrence Chin berkata, pembukaan semula gelembung perjalanan domestik dengan pematuhan SOP sangat penting bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan di negara ini khususnya di Sabah.

Beliau juga percaya dengan kebanyakan orang bakal menerima vaksin Covid-19 sekitar Jun ini, industri berkenaan bakal rancak semula seperti sebelum ini.

“Saya juga percaya pasport yang mengesahkan seseorang pelancong itu telah divaksin menerusi perisian MySejahtera lebih baik berbanding syarat untuk seseorang itu menjalani ujian saringan serta kuarantin wajib yang menelan kos tinggi.

“Sebelum ini setiausaha agung Pertubuhan Pelancongan Bangsa-bangsa Bersatu juga menyeru kepada seluruh negara agar melaksanakan pengeluaran pasport mengesahkan seseorang itu sudah divaksin bagi memastikan dunia kembali ‘bergerak’ seperti sebelum ini,” katanya. – FMT

No comments:

Post a comment