Memori Indah - Kenangan Pelukan Dan Kucupan Terakhir Suami - Khabar Kinabalu

Terkini

Monday, 15 February 2021

Memori Indah - Kenangan Pelukan Dan Kucupan Terakhir Suami


KOTA KINABALU
: Baru sebulan mereka melayari bahtera perkahwinan, kini Tracyla Josephine Thimothy Dapil hanya mampu mengenang semua memori indah bersama mendiang suaminya yang juga anggota polis.

Wanita berusia 25 tahun itu kehilangan suami, Lans Koperal Bradford Bernard, 28, selepas mendiang terbabit dilanggar pemandu kenderaan mabuk di Jalan Kluang-Teck Wah Heng, Kluang, Johor pada Jumaat lalu.

Mayat mendiang tiba di pekarangan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, hari ini disambut Tracyla Josephine dan keluarga.

Menurut Tracyla Josephine, mereka sempat menghabiskan masa bersama ketika mendiang pulang bercuti di Penampang dekat sini, baru-baru ini, malah dia mengesan kelainan ditunjukkan Bradford.

“Suami kerap memeluk serta mengucup dahi saya, seolah-olah tahu dia akan pergi.

“Mulanya saya hairan namun, saya anggap mungkin disebabkan kami akan berpisah lama kerana suami perlu pulang ke Johor untuk bertugas, manakala saya masih di Sabah.

“Saya tidak sangka ia adalah pelukan terakhir suami dan kali terakhir kami bertemu 2 Februari lalu,” katanya ketika ditemui, hari ini

Tracyla berkata, pada hari kejadian, Bradford ada menghantar mesej WhatsApp kepadanya memaklumkan baru selesai bertugas dan mahu pulang ke rumah.

“Saya membalas pesanan itu dengan meminta suami berhati-hati menunggang motosikal.

“Kemudiannya, sebelum tidur saya ada mesej sekali lagi kepadanya sekitar jam 10.29 malam dan meminta dia beritahu sekiranya sudah sampai di rumah.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada mendiang sempat membaca mesej itu atau tidak,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama mendiang pada 20 Januari lalu.

Wanita itu juga berkongsi perancangan mereka yang mana mendiang mahukan dia tinggal di Johor selepas meletak jawatan dengan sebuah syarikat di sini.

Malah, katanya, Bradford juga berhasrat untuk bertukar ke Sabah selepas genap lima tahun berkhidmat di Johor, nanti.

Turut hadir menyambut ketibaan mayat Bradford adalah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan dan Pengerusi Perkep Kontinjen Sabah, Datin Fadziah Abdul Hamid.

Mayat kemudian dibawa ke rumah keluarga di Kampung Inobong, Penampang. – HMetro

No comments:

Post a Comment