PRU15 : Kerusi Tumpuan- Adakah Darell Dapat Mempertahankan Penampang - Khabar Kinabalu

Terkini

Saturday 5 November 2022

PRU15 : Kerusi Tumpuan- Adakah Darell Dapat Mempertahankan Penampang


PENAMPANG: Penyandang kerusi Parlimen Penampang yang juga calon Parti Warisan (WARISAN) Datuk Darell Leiking bakal berdepan dengan tiga pencabar dalam pertembungan empat penjuru bagi calon kerusi Parlimen Penampang.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Penampang Francis Chong mengumumkan seramai empat calon bertanding dalam Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Penampang dan tidak ada borang pencalonan yang ditolak.

Selain Darell, tiga lagi calon yang bertanding di kerusi Penampang adalah calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Ewon Benedick; calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kenny Chua Teck Ho, dan seorang calon Bebas Richard Jimmy. 

Proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Penampang selesai sekitar jam 10.30 pagi selepas kesemua calon selesai mencabut nombor calon masing-masing.

Darell, 51, yang juga Timbalan Presiden WARISAN kekal bertanding pada PRU15 untuk merebut kawasan Parlimen Penampang yang dimenanginya sejak PRU13 pada 2013 dan PRU14 pada 2018 dengan bilangan undi 32,470 dan mojoriti besar 23,473.

Ratusan penyokong bagi keempat-empat calon mula membanjiri kawasan ruang legar pusat penamaan calon dari seawal jam 8 pagi. 

Biarpun sorakan para penyokong menambahkan suasana 'hangat' di kawasan pusat penamaan calon, namun semuanya berlangsung dalam keadaan tenang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ewon, 39, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dan bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) buat pertama kalinya tampil untuk bertanding kerusi Parlimen dalam PRU kali ini.

Selain itu, Kenny, 52, dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga mantan ADUN Inanam bersama Richard, 54, juga bertanding buat pertama kalinya untuk kerusi Parlimen.

No comments:

Post a Comment