PRU15 : Kerusi Tumpuan- Tiga Pencabar Shafie Di Semporna - Khabar Kinabalu

Terkini

Saturday 5 November 2022

PRU15 : Kerusi Tumpuan- Tiga Pencabar Shafie Di Semporna


SEMPORNA - Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berdepan saingan empat penjuru di kerusi P.189 Semporna pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Juraimin Jadil sekitar pukul 11 pagi. 

Mohd Shafie akan ditentang oleh muka baharu iaitu calon daripada Pakatan Harapan (PH), Arastam Pandorog dan Nixon Abdul Habi mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS). 

Seorang lagi yang bakal merebut kerusi Parlimen tersebut ialah Ab Rajik @ Ab Rajak Ab Hamid daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara bermula 9 hingga 10 pagi.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan tiga negeri iaitu Perak, Pahang dan Perlis dipertandingkan.

Turut diadakan serentak adalah penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah. Enam negeri masing-masing tiga di bawah Pakatan Harapan iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang serta tiga negeri di bawah Perikatan Nasional iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN.

Sabah, Melaka dan Johor di bawah pentadbiran Barisan Nasional tidak membubarkan DUN masing-masing kerana tidak mencapai tempoh matang selepas pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 2020-2022.

Manakala Sarawak pula telah mengadakan pilihan raya negeri pada Disember tahun lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. 

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 bermula hari ini selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 18 November

Pada PRU kali ini seramai 21,173,638 pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara, layak mengundi. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment