Tawau | Mangsa Bot Karam Berjaya Diselamatkan Maritim Malaysia - Khabar Kinabalu

Terkini

Friday, 24 April 2020

Tawau | Mangsa Bot Karam Berjaya Diselamatkan Maritim Malaysia

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya menyelamatkan dua mangsa bot jongkong karam di kawasan perairan Sungai Pukol, Pulau Sebatik, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, bot jongkong dinaiki dua lelaki berkenaan mengalami kerosakan enjin sebelum dipukul ombak dan karam kira-kira satu batu nautika dari barat laut muara Sungai Pukol.



Bagaimanapun, kedua-keduanya masing-masing berumur 35 dan 40 tahun bernasib baik apabila kapal ronda Maritim Malaysia Tawau yang sedang melakukan Operasi Cegah PATI di perairan itu berjaya mengesan kedudukan mereka.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam, berkata anggota bot ronda mengesan bot jongkong yang hampir tenggelam sepenuhnya sebelum menemui kedua-dua lelaki terbabit dalam keadaan terapung.
"Selepas diselamatkan, kedua-dua mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu dibawa pulang ke Sungai Melayu, di Pulau Sebatik kira-kira jam 8.30 malam selepas keadaan cuaca kembali tenang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Siva Kumar menjelaskan kawasan perairan Tawau ketika ini sedang menghadapi fasa peralihan monsun dan dijangka berterusan sehingga lewat bulan Mei depan.
Jelasnya lagi, fasa itu tidak mempunyai corak tiupan angin yang konsisten malah dijangka menerima tiupan angin yang lemah iaitu kurang dari lima knot pada aras permukaan dan sentiasa berubah selain berpotensi berlakunya ribut petir.
"Justeru, komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan selain memastikan keadaan enjin dan bot berada dalam keadaan yang baik," katanya.
Orang ramai yang berdepan situasi kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau, di talian 089-752115 atau MERS 999.

No comments:

Post a comment