17 Kes Cuba Bunuh Diri Dalam Tempoh Dua Tahun Di Kota Kinabalu - Khabar Kinabalu

Terkini

Thursday 26 November 2020

17 Kes Cuba Bunuh Diri Dalam Tempoh Dua Tahun Di Kota Kinabalu


Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu merekodkan 17 kes cubaan bunuh diri sepanjang 2019 hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, antara kes cubaan bunuh diri yang dilaporkan membabitkan kes terjun bangunan, terjun sungai dan gantung diri.

Katanya, daripada 17 kes itu, 14 kes membabitkan kematian, manakala tiga lagi berjaya diselamatkan pihak berkuasa.

"Sepanjang tahun lalu, IPD Kota Kinabalu menerima tujuh kes iaitu dua kes terjun bangunan, manakala lima lagi kes gantung diri.

"Bagi tahun ini pula, 10 kes direkodkan membabitkan tujuh kes gantung diri dan tiga lagi cubaan bunuh diri," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Skuad Komuniti Prihatin Sabah (KPS) kepada anggota Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) di perkarangan Balai Polis Karamunsing, di sini, hari ini.

Habibi berkata, antara faktor yang mendorong berlakunya cubaan atau membunuh diri, termasuk kemurungan akibat masalah kewangan dan beban hutang.

Selain itu, pihaknya turut merekodkan masalah perceraian, pengabaian keluarga, gangguan mental dan berhalusinasi serta tekanan perasaan akibat masalah peribadi.

Sehubungan itu, Habibi menasihatkan individu yang mengalami masalah atau tekanan supaya mendapatkan bantuan kaunseling dan meminta supaya tidak ambil tindakan singkat dengan melakukan bunuh diri.

"Bagi kes cubaan bunuh diri, polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 309, Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh diri," katanya

~HMetro.

No comments:

Post a Comment