Kayuh BMX Lebih 30KM Sehari, ‘Panda Walker’ Di Kota Kinabalu Ini Tular Di Media Sosial - Khabar Kinabalu

Terkini

Sunday 14 February 2021

Kayuh BMX Lebih 30KM Sehari, ‘Panda Walker’ Di Kota Kinabalu Ini Tular Di Media Sosial



KOTA KINABALU: Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Peribahasa itu menjadi pendorong kepada seorang pekerja penghantar makanan Foodpanda, Mohd Aidil Pulian, 34, yang sanggup mengabaikan penat lelah demi kelangsungan hidup menyara isteri dan dua anaknya.

Aidil yang mesra dipanggil Ben, mengerah kudrat dengan mengayuh basikal jenis BMX miliknya sejauh lebih 30km setiap hari demi melaksanakan tanggungjawab sebagai penghantar makanan.

“Saya tinggal di Bambangan, Inanam (kira-kira 10km dari pusat bandar raya Kota Kinabalu) dan perlu mengayuh basikal ke Kota Kinabalu untuk memulakan tugas setiap hari kerana di situlah ‘check point’ sebelum memulakan tugas penghantaran.

“Selepas pendapatan terjejas berikutan penularan Covid-19, saya terpaksa melakukan kerja ini kerana mempunyai keluarga untuk disara,” katanya.

Ben berkata, dia sebelum ini bertugas di sebuah pusat pelancongan sebagai pemandu pelancong, namun gaji bulanannnya terpaksa dikurangkan kerana pusat itu masih belum boleh beroperasi.

Katanya, gaji yang masih diterima daripada tempat kerja sekarang ini hanya RM600 sebulan dan ia tidak mencukupi untuk menampung kehidupannya yang sudah berkeluarga.


“Pada mulanya, saya bergiat dalam kerja menghantar makanan ini tanpa sebarang kenderaan yang mana dipanggil ‘panda walker’.

“Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, saya mengeluarkan sedikit modal untuk membeli basikal kerana ketika PKP (perintah kawalan pergerakan) ini, bas tidak banyak yang berjalan ke pusat bandar raya dan sebab itu saya membeli basikal untuk menyenangkan sedikit pergerakan walaupun ia agak memenatkan,” katanya.

Ben berkata, antara cabarannya menjadi penghantar makanan dengan hanya berbasikal sudah pasti kepenatan mengayuh dengan jarak yang jauh.

“Selain itu, ada lagi cabaran lain termasuk kena kejar anjing dan ada juga segelintir penghantar makanan bermotosikal yang dipanggil ‘panda rider’ tidak senang dengan kehadiran kami sebagai ‘panda walker’, mereka mendakwa kami kacau bisnes mereka terutama tempahan makanan yang jaraknya dekat.

“Tapi semua itu saya anggap cabaran biasa sebagai penghantar makanan, berkenaan segelintir ‘panda rider’ yang tidak senang dengan kehadiran kami, saya hanya memberitahu mereka yang kita semua mencari rezeki dan bukan berniat pun mengganggu bisnes mereka.

“Pendapatan sebulan saya sebagai ‘panda walker’ ini pun bukanlah besar sangat hanya sekitar RM800 hingga RM1,000, bolehlah tambah sikit-sikit untuk menampung diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Terdahulu, gambar Ben mengayuh basikal di jalan raya yang dimuat naik seorang pengguna Facebook menjadi tular di media sosial hari ini.

Gambar dimuat naik warganet yang menggunakan nama “Fareed Aydrus” itu turut dikongsi lebih 200 pengguna dan mendapat hampir 50 komen.

“Bercerita mengenai Foodpanda, aku masih lagi ‘respect’ sebenarnya pada seorang ‘brother’ ini. (Ben Kerasti Pangazou) Dia kayuh basikal BMX saja dari ‘area’ Kionsom, Inanam ke KK untuk foodpanda. Jauh ehh…

“Bukan sekali, balik-balik sudah…macam mana aku tau, sebab aku ada 1-2 kali masuk Kionsom pagi-pagi hantar bantuan nampak dia kayuh keluar.. dan dalam petang dia balik ‘limpas’ sini Masjid Bandaraya. MashaAllah, hebat usaha abang ni untuk kelangsungan hidup…Kagum dengan brother sister Foodpanda, Grabfood dan ‘runner’ semua…Jiwa memang kental,” katanya dalam hantaran itu.

Kebanyakan komen yang diberikan memberi pujian selain kagum terhadap kesungguhan Ben.

“Terbaik abang…rajin betul abang ini…tapi itu lah..sebab-sebab dia naik basikal…sebab dia ‘walker panda’…dan tidak dibenarkan naik motosikal…’panda’ yang bawa motosikal tu ‘rider’…naik basikal ‘walker’…kasihan abang ini…demi mencari rezeki…terbaik abang…semoga dimurahkan rezeki abang…amin,” kata seorang pengguna yang menggunakan nama “Pipi Casanova”.

Selain itu, seorang pengguna, Sharifah Rodhiah Iwak turut memberi komen dengan mendoakan Ben mendapat rezeki berganda dan diberi kesihatan baik.

“Nduk bah..kuat semangatnya bah..mudah-mudahan dia dapat rezeki berganda…diberikan kesihatan yg baik…Amin,” katanya. – FMT

No comments:

Post a Comment