Misteri 34 Ekor Babi Hutan Ditemui Mati Di Kinabatangan,Sugut Dan Paitan - Khabar Kinabalu

Terkini

Wednesday, 3 February 2021

Misteri 34 Ekor Babi Hutan Ditemui Mati Di Kinabatangan,Sugut Dan Paitan


KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 34 ekor babi hutan ditemui mati di hutan sekitar Kinabatangan, Sugut, dan Paitan, sejak 28 Jan hingga hari ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga, berkata pihaknya dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang menyiasat punca kematian haiwan terbabit.

“JHL menerima laporan secara berperingkat di mana sebanyak 29 ekor ditemui di Kinabatangan dan lima ekor lagi ditemui di Sugut dan Paitan.


“Secara keseluruhan jumlah babi hutan yang ditemui ialah sebanyak 34 ekor namun pihak kami tidak menolak kemungkinan lebih banyak lagi akan ditemui dan pemantaun masih diteruskankan sekiranya ada kes kematian baru,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Augustine menasihatkan orang awam jangan membeli daging buruan seperti babi hutan atau hidupan liar lain buat sementara waktu sehingga siasatan punca kematian diketahui sepenuhnya.


Beliau juga memaklumkan JHL tidak mengeluarkan lesen memburu dalam tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Kami juga menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pemburuan haram kerana ia bukan saja menyalahi undang-undang tetapi juga mengundang bahaya sekiranya mendapat jangkitan penyakit yang mungkin menyebabkan kematian babi hutan terbabit,” katanya.

Kejadian yang tular di media sosial ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan warganet, yang antaranya merasakan babi-babi hutan itu mungkin diracun. – FMT

No comments:

Post a comment