Polis Tidak Pernah Halang Atau Hentikan Program Ebit Lew Di Pulau Sekitar Semporna - Khabar Kinabalu

Terkini

Tuesday, 2 February 2021

Polis Tidak Pernah Halang Atau Hentikan Program Ebit Lew Di Pulau Sekitar Semporna



KOTA KINABALU: “Polis atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tidak pernah menghalang atau mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan program Ustad Ebit Lew di kawasan itu,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali hari ini. Malah beliau berkata, polis mengalu-alukan kerjasama mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program amal kebajikan bagi membantu golongan memerlukan.

Bagaimanapun, menurut Hazani, mereka digalakkan untuk merujuk dengan pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu atas faktor keselamatan semata-mata. 

 “Kita tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau tindakan untuk menghalang program yang dianjurkan oleh pihak sukarelawan seperti Ustaz Ebit Lew. 

 “Ada juga kenyataan yang ditularkan di media sosial mengaitkan perintah berkurung dikuatkuasakan meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran,” katanya dihubungi. Hazani berkata, perintah itu dikeluarkan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

 “Ia tiada kena mengena dengan program yang dianjurkan sukarelawan atau NGO di mana-mana kawasan di negeri ini. “Cuma kita minta beliau rujuk dengan pihak berwajib, ia adalah bagi mengenalpasti status pulau dan penduduk terbabit,” katanya. 

 Terdahulu, kenyataan Ustaz Ebit Lew tular di media sosial yang mendakwa dirinya terpaksa menghentikan misi bantuan kerana tidak dibenarkan melawat ke pulau-pulau sekitar Semporna. Malah katanya, beliau turut diminta supaya menghentikan bantuan di sekitar daerah berkenaan. – HMetro

No comments:

Post a comment