SEMAK BANTUAN PRIHATIN RAKYAT FASA 3 | BAYARAN BERMULA 28.9.2021 - Khabar Kinabalu

Terkini

Sunday 26 September 2021

SEMAK BANTUAN PRIHATIN RAKYAT FASA 3 | BAYARAN BERMULA 28.9.2021



Seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini, proses pengkreditan Fasa 3 dan Rayuan BPR akan dilaksanakan mulai 28 September 2021. Pembayaran Fasa 3 dan Rayuan BPR ini akan memanfaatkan seramai 3.6 juta penerima yang terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah dan mereka yang telah lulus Rayuan BPR melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion. Secara keseluruhannya, RM9.6 bilion telah diperuntukkan untuk BPR memanfaatkan 8.5 juta penerima bagi tahun 2021.



Selain BPR, masih terdapat bantuan tunai lain iaitu Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Oktober hingga Disember 2021. Kesemua bantuan tunai yang diperuntukkan oleh Kerajaan termasuk BPR sehingga hujung tahun 2021 bernilai RM17.1 bilion dan dijangka akan memanfaatkan lebih 10 juta penerima.

Untuk BPR Fasa 3, setiap penerima bakal menerima sehingga RM1,400 manakala penerima bayaran Rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300 mengikut kategori kelayakan masing-masing, seperti jadual berikut:

PerkaraPenerima BPR Berpendapatan RM5,000 dan ke bawah
Penerima Sedia Ada3.4 juta penerima isi rumah
Nilai Bayaran Fasa 3RM100–RM1,400
Penerima Rayuan BPR0.2 juta penerima
(isi rumah/warga emas/bujang)
Nilai Bayaran Rayuan BPRRM450–RM2,300




Pembayaran ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dalam meringankan beban mereka yang masih terkesan akibat COVID-19. Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Dari aspek perlindungan sosial jangka panjang, pelan Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) juga sedang menerokai langkah-langkah untuk meningkatkan liputan dan kecukupan perlindungan sosial bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perlindungan serta kemampuan dalam memperbaiki taraf hidup mereka.

Aspek jaringan keselamatan sosial terutamanya untuk golongan rentan juga akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2022.

Jadual nilai pembayaran Fasa 3 dan Rayuan BPR mengikut kategori kelayakan dan maklumat lanjut boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu, https://bpr.hasil.gov.my



No comments:

Post a Comment