BEAUFORT | Buta Mata Kanan, Rakan Pukul Guna Penyapu - Khabar Kinabalu

Terkini

Wednesday, 17 February 2021

BEAUFORT | Buta Mata Kanan, Rakan Pukul Guna Penyapu

 

Mata mangsa yang cedera sudah rosak dan mengalami kecacatan yang kekal. Gambar kiri, suspek berusia 39 tahun ditahan di Jalan Kompleks Sukan Beaufort, jam 8.30 malam tadi.

BEAUFORT: Mata kanan seorang lelaki buta selepas dipukul rakannya menggunakan penyapu hanya kerana tidak melawan ketika dimarahi penyelia di tempat kerja.

Dalam kejadian jam 11 malam Jumaat lalu itu, mangsa berusia 39 tahun dikatakan sedang minum minuman keras di rumah rakannya itu di Kampung Benonok di sini.

Bagaimanapun, insiden pergaduhan tercetus apabila rakan mangsa mempersoalkan sikapnya yang tidak melawan ketika dimarahi penyelia di tempat kerja, kira-kira dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian suspek tidak berpuas hati dengan mangsa, sebelum mencabar untuk bergaduh.

Katanya, suspek kemudian mematahkan sebatang penyapu, sebelum menyerang mangsa yang pada waktu itu cuba melarikan diri.

“Ketika mangsa cuba melarikan diri, suspek terus memukulnya dengan batang penyapu berkenaan di bahagian muka dan terkena pada mata kanan.

“Mangsa kemudian melarikan diri ke rumah jiran berhampiran untuk meminta pertolongan, sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya hari ini.

Azmir berkata, doktor yang merawat mengesahkan mata kanan mangsa cedera parah dan akan mengalami kecacatan kekal.

“Susulan laporan dibuat oleh ibu mangsa, polis menahan suspek berusia 39 tahun di Jalan Kompleks Sukan Beaufort jam 8.30 malam tadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya. – BH Online

No comments:

Post a comment