BEAUFORT | Lapan Pengedar, Penagih Ditahan Dalam Tiga Serbuan Di Beaufort & Kuala Penyu - Khabar Kinabalu

Terkini

Wednesday 17 February 2021

BEAUFORT | Lapan Pengedar, Penagih Ditahan Dalam Tiga Serbuan Di Beaufort & Kuala Penyu

Lapan individu ditahan terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah sekitar Beaufort dan Kuala Penyu


BEAUFORT: Polis berjaya menahan lapan individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah termasuk pengedaran serta penagihan dalam beberapa serbuan sekitar sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, turut dirampas adalah 12.16 gram dadah jenis syabu yang dipercayai untuk bekalan tempatan.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 42 tahun yang ditahan dalam keadaan mencurigakan, sebaik diperiksa polis menemukan tiga paket plastik sederhana besar mengandungi syabu seberat 12.16 gram pada 16 Februari lalu.

“Suspek yang dibawa ke IPD Beaufort didapati positif methamphetamine dan ditahan untuk direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Beliau berkata, bertindak dengan tangkapan, pihaknya menjalankan serbuan Ops Tapis dan menyerbu dua rumah di Kampung Sekarang Menumbok dan menahan tiga lagi suspek berumur 29 hingga 54 tahun yang terlibat dengan aktiviti penagihan dadah.

“Tiga lagi rumah diserbu di sekitar Kuala Penyu dan pasukan polis berjaya menahan empat lagi penagih semasa giat menjalankan aktiviti penagihan dadah.

“Kesemua suspek dibawa ke IPD Beaufort dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) bagi suspek memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi suspek positif dadah,” katanya.

Azmir menegaskan bahawa pihak polis akan terus mengesan dan menggempur mana-mana lokasi yang didapati menjalankan aktiviti dadah di daerah ini bagi memastikan pihak yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah tidak akan terlepas. – Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment