Buaya Dua Meter Sesat Di Kolej Vokasional Likas Masuk Perangkap - Khabar Kinabalu

Terkini

Wednesday 29 September 2021

Buaya Dua Meter Sesat Di Kolej Vokasional Likas Masuk Perangkap


KOTA KINABALU: Seekor buaya sepanjang dua meter berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang selama dua hari di dalam parit dekat Kolej Vokasional Likas, di sini, semalam.

Buaya itu dipercayai sesat dari habitat asal berikutan banjir.

Jurucakap Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) berkata, pihaknya menerima laporan kemunculan reptilia itu oleh pihak pengurusan kolej berkenaan pada 25 September lalu.

Namun katanya, selepas dua hari pemantauan dilakukan, WRU terpaksa memasang perangkap besi dengan dilengkapi umpan bagi menangkap haiwan berkenaan.

“Hari ini, Kolej Vokasional Likas memaklumkan buaya berkenaan sudah memasuki perangkap yang disiapkan.



“Buaya berkenaan kemudian dibawa ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, WRU turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Kolej Vokasional Likas atas kerjasama kerana menghubungi pihak berkuasa hidupan liar sebaik menyedari kehadiran reptilia berkenaan.

Katanya, buaya itu boleh menyebabkan kemudaratan atau kejadian tidak diingini sekiranya jatuh ke tangan yang salah atau tidak bertanggungjawab.



“Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Majlis Minyak Sawit Malaysia, Yayasan Pemuliharaan Hijau Kelapa Sawit Malaysia, Rayuan OrangUtan UK dan Zoo Oregon kerana membiayai semua operasi hidupan liar yang dijalankan WRU,” katanya. – HMetro

 

No comments:

Post a Comment