Abang Ditemukan Terapung & Lemah, Adik Hilang Ditemui Lemas - Khabar Kinabalu

Terkini

Sunday 3 October 2021

Abang Ditemukan Terapung & Lemah, Adik Hilang Ditemui Lemas



LABUAN: Seorang pemuda ditemukan dalam keadaan terapung dan lemah ketika diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di pantai Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Sungai Pagar, di sini, hari ini.

Sebelum itu, mangsa, Al Faiez Rizal Adnan, 23, dan adik tirinya Al Saeif Manahan, 17, mandi di pantai berkenaan sebelum dipercayai lemas.

Sehingga jam 4.30 petang hari ini (3.10.2021), Al Saeif 17, belum ditemui dan operasi mencari terus dijalankan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.45 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan bot bomba untuk menjalankan operasi mencari.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi mencari mangsa menggunakan bot bomba dijalankan.

“Al Faiez Rizal ditemukan dalam keadaan lemah dan terapung, sebelum dihantar ke Hospital Labuan untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala itu, adiknya belum ditemui,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi turut dibantu unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Jawa.

KEMASKINI - 4.10.2021 - (11.00 PAGI)

REMAJA LEMAS DITEMUI
Mangsa kedua berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) sekitar pukul 5.50 pagi tadi.
Berdasarkan maklumat diperoleh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan, identiti mangsa telah dikenalpasti oleh ibu mangsa.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada PDRM Labuan untuk tindakan seterusnya.

Operasi SAR itu ditamatkan pada pukul 7.29 pagi.

No comments:

Post a Comment