40,053 Calon SPM Sabah 2017 Duduki Peperiksaan Bermula 6 November - Khabar Kinabalu

Terkini

Friday, 3 November 2017

40,053 Calon SPM Sabah 2017 Duduki Peperiksaan Bermula 6 November



Sejumlah 40,053 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah akan menduduki peperiksaan itu bermula 6 November hingga 4 Disember ini di 315 pusat peperiksaan, kata Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul.

Daripada jumlah itu kata Maimunah, 34,391 adalah calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, Maktab Maktab Rendah Sains Mara(MRSM) (426), Sekolah Agama Negeri (216), Sekolah Swasta Berdaftar Dengan Kementerian Pendidikan (1,513) dan persendirian (3,507).

"Bilangan petugas peperiksaan adalah 4,331 orang yang terdiri daripada penyelia kawasan, ketua pengawas, pengawas dan pengemas  bilik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Maimunah daripada jumlah calon SPM di Sabah berkenaan pula, 132 calon adalah  calon  Berkeperluan Khas termasuk  kurang upaya penglihatan, pendengaran, pertuturan, fizikal dan kurang upaya pelbagai.

Sementara itu, Maimunah juga berkata 7,122 calon  akan  menduduki  peperiksaan  Sijil  Tinggi  Persekolahan Malaysia (STPM) Penggal 3/2017 yang  akan diadakan pada 6,7,8,9 dan 14 November manakala  8,300 calon pula  akan menduduki peperiksaan STPM Penggal 1/2017 pada 15,16, 20 dan 21 November.

Jumlah calon peperiksaan STPM Ulangan Penggal 1/2017 ialah 6,282 orang manakala  calon  bagi  Ulangan Penggal 2/2017 ialah 6,241 orang.

Maimunah juga berkata pihak jabatan sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir  atau bencana lain akibat musim hujan pada musim peperiksaan kelak.

"Saya amat berharap agar semua Pegawai Pendidikan Daerah dapat mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam Daerah masing-masing (bila berlaku bencana khususnya banjir)...bersama agensi-agensi  lain di peringkat daerah bagi memastikan calon masih dapat menduduki peperiksaan ini walaupun  berhadapan dengan bencana khususnya banjir," katanya.

Nota:

Selamat menduduki peperiksaan SPM 2017 ^_^
Mulakan dengan doa dan jawab dengan tenang.


No comments:

Post a comment