Penerima BPN Keluarga B40 Dari Pedalaman Sabah Boleh Urus Tuntutan Di BSN - Khabar Kinabalu

Terkini

Friday 24 April 2020

Penerima BPN Keluarga B40 Dari Pedalaman Sabah Boleh Urus Tuntutan Di BSN

KOTA KINABALU: Penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dari pedalaman Sabah yang tidak memiliki akaun bank atau gagal dikreditkan atas sebab tertentu, disaran membuat tuntutan di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) daerah masing-masing.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata penerima BPN itu hanya perlu datang mengambil bayaran dengan membawa dokumen pengenalan diri.



"Penerima hanya perlu pergi ke pejabat cawangan BSN dengan mengemukakan kad pengenalan dan nombor siri pendaftaran BPN untuk membolehkan mereka mendapatkan wang bantuan itu.
"Bagi penerima golongan warga emas, pesakit, orang kelainan upaya atau sesiapa yang disahkan mengalami masalah untuk datang ke BSN, boleh mewakilkan ahli keluarga iaitu waris berdaftar dengan LHDN selaku ejen pelaksana BPN dengan hanya membawa kad pengenalan dan nombor siri penerima.
"Tuntutan terbabit boleh dibuat oleh penerima, bermula 17 April sehingga 31 Disember ini. Bagaimanapun, langkah pencegahan harus dilakukan seperti penjarakan sosial, memakai penutup mulut dan menjaga kebersihan bagi mengelak penularan jangkitan virus COVID-19," katanya menerusi kenyataan semalam.
Dalam kenyataan itu juga, beliau berkata sebelum ini penyampaian pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada penerima di luar bandar disampaikan menerusi program tertentu oleh pihak berkaitan.
"Lazimnya dalam keadaan biasa di mana darurat kesihatan seperti sekarang belum berlaku, bantuan BSH untuk penerima luar bandar yang tidak mempunyai akaun disampaikan melalui program Jabatan Perbendaharaan Negara dengan kerjasama Pejabat Daerah melalui majlis penyampaian.
"Mengikut laporan LHDN, masih ada banyak bantuan BSH belum dapat diserahkan membabitkan hampir 40 peratus penerima akibat PKP.
"Kementerian menyedari masalah ini dan berharap pembayaran BSH fasa kedua akan dapat dibayar sekaligus dengan pembayaran fasa ketiga sekitar penghujung tahun jika kes COVID-19 menurun dan keadaan kembali normal," katanya.
Abdul Rahim turut menyentuh isu mengenai perkhidmatan asas bank yang belum meluas di daerah terpencil berikutan struktur geografi Sabah yang luas dan penduduk yang tinggal berjauhan.
"Akses perkhidmatan asas bank seperti kemudahan pengeluaran, penunaian dan khidmat deposit terutamanya terutama perkhidmatan mesin ATM masih belum meluas di daerah kecil dan menjadi isu utama di Sabah.
"Walaupun sedia maklum BSN melantik ejen di luar bandar dan daerah kecil tetapi khidmat penyumberluaran tidak begitu berkesan dan majoriti ejen dari premis kedai runcit yang dilantik tidak berfungsi dengan baik.
"Perkara ini akan dibincangkan di peringkat kementerian dengan bantuan Bank Negara Malaysia sebagai pengawal selia bank di negara ini bagi mencari penyelesaian lebih berkesan.
"Mungkin sudah tiba masanya perkhidmatan bank pejabat pos diwujudkan semula, seperti yang pernah diwujudkan ketika awal merdeka tapi sudah ditamatkan," katanya.
Abdul Rahim menegaskan yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.

1 comment:

  1. nk tya sy pgng kadbnk suami sbp sy tiada kadbnk sndiri dri dlu smpai skrg sy yg pgng kadbnk suami pi knp kadbnk suami sy cek ATM tolak fasa k2 punya.. fasa 1 sy da trma

    ReplyDelete